KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang digubal sebagai dasar utama bagi menetapkan prinsip asas pembangunan dalam memacukan kegiatan kreatif negara supaya lebih produktif dan ekonomik akan dilancarkan esok.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim akan melancarkan dasar itu di sini.
Dasar itu yang berpaksikan tiga skop utama iaitu multimedia, seni budaya dan warisan budaya digubal bagi memenuhi keperluan industri dan menyokong pembangunan dan kemajuan setiap industri di bawahnya, menurut kenyataan media kementerian itu di sini Khamis.
Menurut kenyataan itu, aspek utama dalam industri kreatif telah diambil kira dan diberi penekanan dalam melaksanakan strategi-strategi dasar, termasuk aspek penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pembangunan harta intelek yang dilihat amat penting bagi menggalakkan pembangunan industri kreatif semasa.
Bersempena pelancaran dasar itu, satu program jelajah kreatif dasar itu turut akan diadakan bagi menjelaskan peluang-peluang serta faedah yang dijana oleh dasar itu kepada rakyat, dalam usaha kerajaan memacu industri kreatif negara.
Selain peranan dasar itu untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan membantu negara mencapai objektif sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, menurutnya.
Program jelajah kreatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh negara termasuk kawasan utara, pantai timur, Sabah dan Sarawak.
Penganjuran program jelajah kreatif ini akan mampu memberikan impak yang positif khususnya dalam memberi penerangan jelas berkaitan DIKN kepada khalayak khususnya penggiat-penggiat industri kreatif yang meliputi tiga sektor utama iaitu industri kreatif multimedia, industri kreatif seni budaya dan industri kreatif warisan budaya.
Di samping itu, program jelajah itu juga mempromosikan serta mendedahkan peluang-peluang ekonomi dalam bidang industri kreatif kepada rakyat, menurut kenyataan itu.
Sumber: BERNAMA
|