KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan menjadi hos bagi Persidangan Gas Dunia Ke-25 (WGC 2012) di sini, dari 4-8 Jun, 2012 dengan tema 'Gas: Sustaining Future Global Growth' (Gas: Menyokong Pertumbuhan Masa Depan Global).
Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU), Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, dalam satu kenyataan berkata persidangan dan pameran itu akan membincangkan tentang peralihan seismik dan pembangunan dalam sektor tenaga, dengan tumpuan utama bagi industri gas global.
"Sebagai jurucakap bagi industri gas, IGU memulakan usaha ke arah menyokong gas asli, agar ia memperoleh semula suara dasar sewajarnya, konsisten dengan merit dan potensinya," katanya.
WGC 2012 dianjurkan oleh IGU.
Ia ditaja dan disokong oleh Royal Dutch Shell, Qatargas, TOTAL, ExxonMobil, RasGas, GDF Suez, KOGAS dan BP.
WGC 2012 dijangka menarik lebih 5,000 profesional industri, 500 penceramah antarabangsa, 250 wakil media tempatan dan antarabangsa, lebih 200 peserta pameran dan 10,000 pengunjung perdagangan.
Sumber: BERNAMA
|