RAUB, 12 Jun (Bernama) -- Kerajaan membelanjakan RM206.37 juta bagi melaksanakan 2,077 projek di 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Chor Chee Heung berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM136.52 juta adalah untuk 870 projek kecil PBT seperti membina dan menaik taraf jalan serta kemudahan awam.
"Sebanyak RM33.88 juta lagi untuk melaksanakan 405 projek pembangunan penempatan tradisional dan tersusun dalam kawasan PBT iaitu projek infrastruktur, menaik taraf jalan, parit dan longkang di kawasan kampung," katanya kepada pemberita, di sini Ahad.
Beliau berkata menerusi penyaluran peruntukan sebesar itu, PBT tidak mempunyai alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
"Pihak penguruan PBT harus menyedari bahawa masyarakat tempatan hari ini bukan lagi masyarakat sara diri tetapi telah berubah kepada masyarakat yang terdedah kepada dunia tanpa sempadan dan mereka tahu tanggungjawab PBT kepada mereka," katanya.
|