KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Petronas Chemicals Bhd berharap proses mengumpul dana untuk pembangunan kilang baja di Sipitang, Sabah, dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun.
Pengerusinya Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata syarikat itu sedang mengenal pasti sumber pembiayaan dalaman dan luaran untuk melaksanakan projek dengan nilai pembangunan kasar US$1.5 bilion itu.
"Kami mempunyai pengatur acara pengurusan modal yang aktif, wajar bagi kami untuk memperoleh dana luaran. Kami juga mempunyai rakan usaha sama untuk melaksanakan projek itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Petronas Chemicals, Selasa.
Mengenai usaha sama dengan syarikat lain, Wan Zulkiflee berkata Petronas Chemicals bersedia menawarkan kepentingan sehingga 30 peratus dalam projek itu.
Mengulas mengenai usaha samanya dengan BASF SE, beliau berkata Petronas Chemicals kini menjalin dua usaha sama dengan syarikat kimia.
"Yang pertama bagi melaksanakan kajian daya maju untuk meluaskan beberapa kemudahan kami di Gebeng, Pahang, yang melibatkan pelaburan RM4 bilion, dan menjangkakan selesai akhir tahun.
"Projek kedua yang dilaksanakan oleh Petroliam Nasional Bhd yang dijangkakan akhir tahun depan, pada kos pelaburan kira-kira RM60 bilion," kata Wan Zulkiflee.
Mengenai unjuran syarikat, beliau mengingatkan semua peserta dalam Petronas Chemicals supaya sentiasa bersiap sedia.
"Kita berada dalam industri yang pesat berubah dan sudah menyaksikan turun naik harga baru-baru ini berikutan tsunami di Jepun, krisis Timur Tengah dan sebagainya," katanya.
Sumber: BERNAMA
|