KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Produk makanan yang dikeluarkan oleh pusat biotek herba TPM Biotech Sdn Bhd di Raub, Pahang kini boleh dieksport ke luar negara setelah syarikat berkenaan menerima pensijilan Standard Audit Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Bahaya (HACCP) baru-baru ini.
Syarikat itu merupakan anak syarikat milik penuh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Mohd Azman Shahidin, berkata pensijilan berkenaan tepat pada masanya.
Beliau berkata lima syarikat yang mengeluarkan produk makanan dan minuman herba mereka di bawah kontrak di kemudahan di Raub, kini aktif membawa produk mereka ke pasaran Timur Tengah, Indonesia, United Kingdom dan Australia.
"Pensijilan berkenaan membuktikan kawasan pengeluaran makanan kami telah diaudit dan diperakui bagi memenuhi semua standard antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh TPM pada Isnin.
Pensijilan berkenaan diberikan oleh Guardian Independent Certification Ltd, London susulan audit meluas dan ketat bagi sistem pengurusan kesemalaman makanan syarikat.
Ini merupakan kali pertama kemudahan milik kerajaan seperti itu diberikan pensijilan HACCP.
Pusat ini ditubuhkan pada 2004 bagi membantu usahawan tempatan dengan menyediakan perkhidmatan saintifik dan perundingan yang menyeluruh, selain menyediakan infrastruktur pemprosesan herba bagi tujuan pengkomersialan.
Pada masa ini, lebih 120 syarikat dan usahawan tempatan menggunakan kemudahan berkenaan bagi menghasilkan produk mereka mengikut kontrak.
|