Skip links
News Image 5 Aug 2022

ECER Kenal Pasti Projek di Pahang Barat

Sumber: Berita Harian
Tarikh : 3 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0 sudah mengenal pasti projek untuk menyokong pembangunan kluster industri utama di Bentong, Cameron Highlands, Raub, Lipis, Jerantut dan Bera yang ditakrif sebagai Pahang Barat.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkata, kajian Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus 2021 kini sedang dijalankan di bawah Unit Pahang Barat Plus, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang untuk merancakkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Ia merangkumi strategi untuk meningkatkan pelaburan bagi pembangunan ekonomi dalam kluster industri utama seperti pelancongan, pertanian, perkayuan, perlombongan dan industri kecil dan sederhana (IKS) serta menambahbaik infrastruktur terutamanya sistem perhubungan jalanraya, telekomunikasi dan bekalan utiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat, berkata pelan itu juga termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan Orang Asli dan pembangunan usahawan IKS.

Projek-projek dalam perancangan dan dalam pelaksanaan adalah selaras dengan strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk menambah baik kesalinghubungan dan infrastruktur pengangkutan dan akan merangsang ekonomi setempat.

"Projek infrastruktur strategik seperti Jalan Central Spine (CSR) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya adalah 'game changer' bagi Pahang Barat. Ia mampu mengubah lanskap ekonomi keranajarak perjalanan antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia dipendekkan malah membantu membuka kawasan kegiatan ekonomi baharu dan pelaburan di sekitarnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Jelajah Belanjawan 2022 ke Pahang Barat yang diketuai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam.

Tengku Zafrul melawat Bandar Kuala Lipis, Temerloh dan tapak RAMSAR di Tasik Bera untuk meninjau keperluan pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus.

Dalam kenyataan itu, ECERDC turut menyatakan, antara pemacu utama pertumbuhan sosio-ekonomi di Pahang Barat adalah sektor pelancongan memandangkan ia kaya dengan alam semula jadi dan warisan serta bangunan bersejarah di Kuala Lipisyang akan dinaik taraf.

ECERDC juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan dan infrastruktur sokongan di Taman Eko-Rimba Mossy Forest, Cameron Highlands untuk menjadikannya sebagai destinasi premier eko-pelancongan.

Selain itu, ECERDC juga sedang melaksanakan inisiatif Agrofood@ECER yang merangkumi pembangunan industri tenusu, projek penanaman kelapa dan makanan ternakan dan penekanan khas diberikan kepada pembangunan masyarakat Orang Asli.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini adalah wilayah yang sedang pesat membangun dan menjadi destinasi pelaburan yang unik, dinamik dan berdaya saing.

ECER meliputi kawasan seluas 66,000 km persegi atau 51 peratus daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.8 juta penduduk, atau 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Laman web ini menggunakan penjejak bagi menambahbaik pengalaman web anda.
× WhatsApp Specialist! Available on SundayMondayTuesdayWednesdayThursdayFridaySaturday
Skip to content