Skip links
News Image 6 Julai 2022

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng, Mula Operasi 2026

Sumber: Berita Harian
Tarikh : 6 Julai 2022

KUANTAN: Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng di sini, dijadual bermula tahun depan dengan kos RM2 bilion dan beroperasi pada 2026, kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, pembinaan lapangan terbang itu juga dibuat dengan rancangan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa membabitkan kawasan seluas 5,042 hektar, yang disifatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang.

"Projek ini akan dibangunkan secara usaha sama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang berkonsepkan pembangunan secara bina-kendali-milik (BOO) iaitu pengoperasian lapangan terbang ini dikendalikan pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad.

"Pemajuan projek ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7.5 bilion setahun atau bersamaan RM150 bilion dalam tempoh 20 tahun, selain kerajaan negeri menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran penyelenggaraan, baik pulih dan pembaikan (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion.

Sementara itu, Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia, Zhuo Yue menandatangani selaku rakan strategik bagi projek pembinaan lapangan terbang, manakala rakan strategik bagi pemajuan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa ialah Syabas Seribumi Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Mohamad Nor Hamid.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut hadir di majlis itu.

Untuk rekod, lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini adalah milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Wan Rosdy berkata, Gading Group Berhad mempunyai kepakaran perniagaan dalam bidang aeroangkasa sebagai penyedia kelengkapan dan perkhidmatan bagi pesawat udara serta mesin atau kelengkapan lain berkaitan perkhidmatan udara

Beliau berkata, syarikat yang dilantik sebagai rakan strategik juga memiliki kepakaran, pengalaman yang kukuh serta rekod baik dalam bidang pembangunan infrastruktur lapangan terbang dan pembangunan bercampur.

Katanya, selain itu, pelaksanaan projek itu membuka 20,000 peluang pekerjaan dengan sasaran pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang dan 30,000 pekerjaan lain menerusi pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

"Pelaksanaan projek itu di Gebeng juga mengambil kira faktor hab ekonomi kerana terletak di kawasan perindustrian Gebeng dan berhampiran Pelabuhan Kuantan serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diharap menjadikan Pahang pilihan utama pelabur berdasarkan kemudahan itu," katanya.

Laman web ini menggunakan penjejak bagi menambahbaik pengalaman web anda.
× WhatsApp Specialist! Available on SundayMondayTuesdayWednesdayThursdayFridaySaturday
Skip to content