Skip links

Hiburan dan Membeli-belah

Pelbagai Perkara Menarik

Membeli-belah & Hiburan

Pusat membeli-belah di Kuantan mempunyai lebih pilihan dan kepelbagaian barangan dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Pantai Timur Malaysia dengan trend dan fesyen terkini. Walau bagaimanapun, jika anda ingin merasai pengalaman membeli barangan tempatan, membeli-belah di pasar malam dan pusat kraftangan mungkin sesuatu yang menyeronokkan. Jika anda ingin merasai hiburan yang sebenar, Genting Highlands menawarkan taman tema, arked membeli -belah, restoran, pertunjukan secara langsung bertaraf dunia dan konsert untuk keseronokan seisi keluarga.

Berjaya Megamall

Berjaya Megamall di Kuantan mempunyai ruang kedai berkeluasan 2 juta kaki persegi yang menawarkan produk berjenama seperti Vincci, Bonia, Body Shop dan banyak lagi. Pusat membeli-belah ini diterajui oleh Parkson Grand. Terdapat juga bank, klinik dan pusat-pusat kecantikan serta restoran. Berjaya Megamall juga menawarkan pusat hiburan (GCS Cineplex dan pusat bowling) serta medan selera.

Disamping itu, Berjaya Megamall adalah tempat rangkaian pasaraya besar Tesco dimana barang kegunaan rumah, runcit dan makanan boleh dibeli dengan harga yang berpatutan.

Kuantan Parade

Mempunyai ruang perniagaan seluas 110,000 kaki persegi serta 700 ruang letak kereta, Kuantan Parade yang terletak di Jalan Haji Abdul Rahman menyediakan pengalaman membeli-belah yang menarik dengan pelbagai pilihan makanan, hiburan, fesyen, perkhidmatan, barang keperluan rumah, aksesori dan banyak lagi. Selain diduduki oleh kedai-kedai kecil, Kuantan Parade diterajui oleh pusat barangan tempatan – The Store.

East Coast Mall

East Coast Mall ialah pusat membeli –belah terkini di bandar Kuantan. Kompleks komersil moden lima tingkat ini terletak di Jalan Putra Square 6, Putra Square, Kuantan. Parkson Grand dan Carrefour merupakan teraju utama kompleks ini yang masing-masing terletak di bahagian sayap kiri dan kanan bangunan ini.

Pusat Jualan Runcit

Selain daripada pusat membeli-belah, di Kuantan juga terdapat penjual runcit seperti Pasar Borong Mydin, The Store, Pasaraya Besar Giant dan pusat tekstil Kamdar. Pusat jualan runcit ini menawarkan produk dan barangan berkualiti pada harga yang menarik.

Pasar Malam

Untuk membeli-belah secara kasual, terdapat pasar malam di beberapa kawasan bandar dimana anda boleh beli produk segar seperti ayam, daging, ikan dan makanan laut, barangan runcit serta barang kegunaan rumah dari gerai yang didirikan di sepanjang jalan. Malahan anda boleh juga membeli kasut, pakaian dan juga tekstil. Di tempat seperti ini anda boleh tawar-menawar untuk mendapatkan potongan harga. Tarikan utama pasar malam adalah jualan juadah tempatan yang sedap dan murah.

Salah satu pasar malam yang terkenal di Kuantan ialah di Jalan Gambut, terletak di tengah-tengah bandar Kuantan. Anda boleh berjalan kaki di malam minggu untuk merasai suasana pasar malam. Ia biasanya bermula pada pukul 5.00 petang dan berakhir hingga pukul 10 malam.

Terdapat juga pasar tani dan pasar minggu yang menjual buah-buahan segar, sayur-sayuran, ikan, makanan laut, barang runcit serta keperluan rumah dengan harga yang agak murah.

Pusat Kraftangan

Jika anda berminat untuk membeli cenderamata, Pusat Kraftangan di Teluk Chempedak menawarkan produk kraftangan dari merata negeri. Terdapat barangan rumah yang diperbuat daripada daun pandan yang dianyam halus, ukiran kayu, kraf kulit siput, broked emas dan perak yang cantik yang boleh dibeli dengan harga yang berpatutan. Disamping itu, batik iaitu fabrik bercetak lilin dengan berbagai corak menarik, ada dijual yang tentu sekali anda tidak akan keberatan untuk membelinya. Terdapat banyak lagi pusat kraftangan di Cherating dan Sungai Karang.

Laman web ini menggunakan penjejak bagi menambahbaik pengalaman web anda.
× WhatsApp Specialist! Available on SundayMondayTuesdayWednesdayThursdayFridaySaturday
Skip to content