Skip links
Pelbagai Perkara Menarik

Tempat Makan

Pahang menawarkan pelbagai jenis juadah tempatan yang enak. Antara makanan di negeri ini yang mesti dirasai ialah Keropok Lekor dan Sata (kedua-duanya dibuat daripada ikan) dan Ikan Patin Masak Tempoyak - lauk tradisi ikan Patin (sejenis ikan duri air tawar) berkuah yang dimakan dengan nasi. Ikan ini banyak terdapat di sungai-sungai di negeri Pahang.

Anda boleh mencuba hidangan seperti Mi Calong dan Laksa Pahang, kedua-duanya adalah hidangan mi yang dihidangkan dengan kuah pedas-pedas masam yang berasaskan makanan laut. Satu lagi hidangan tempatan ialah Opor Pahang, lauk daging berempah yang sangat menyelerakan. Makanan unik dan ganjil di sini ialah Nasi Periuk Kera atau nasi yang ditanak di dalam pokok periuk kera, sejenis hidangan istimewa masyarakat asli di negeri Pahang. Untuk mereka yang gemarkan sesuatu yang manis, terdapat juga pencuci mulut seperti Puding Diraja, Jeneral Mabuk dan Akok Beserah.

Makanan Laut

Jika anda di Kuantan, Tanjung Lumpur ialah tempat yang terkenal untuk menikmati makanan laut segar yang dipanggang. Terletak di tepi pantai, anda boleh mencuba Pak Su Seafood Restaurant yang terkenal dengan hidangan ketam sumbat; Santai Cafe, sebuah kafe makanan laut yang menghidangkan masakan enak; NARA Seafood Restaurant yang pakar dalam masakan makanan laut ala Thai; Ana Ikan Bakar Petai; Rafi Ikan Bakar dan banyak lagi.

Di kawasan bandar Kuantan, Sara Thai Kitchen Restaurant di Jalan Teluk Sisek berdekatan dengan Bank RHB Kuantan ialah tempat untuk menikmati makanan laut yang enak dengan masakannya yang terkenal- Ikan Siakap Stim dengan Limau Nipis. Jika anda berada di Cherating, Restoran Duyong dan Seaside Seafood Restaurant menyajikan menu makanan laut yang boleh membangkitkan selera anda.

Makanan Barat dan Antarabangsa

Kebanyakan hotel dan resort di Pahang menyajikan masakan barat dan antarabangsa. Jika anda ingin mencuba makanan barat dengan sentuhan rasa tempatan, anda boleh mencuba Zoom Cafe di hadapan Berjaya Megamall, Kuantan atau Uncle John di Teluk Sisek,Kuantan.

Terdapat kedai francais makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken, McDonalds, Kenny Rogers Roasters dan Pizza Hut di kebanyakan pusat membeli-belah. Di samping itu, terdapat juga rangkaian kedai kopi seperti Starbucks, kedai aiskrim Baskin-Robbins dan rangkaian kedai makanan Jepun iaitu Sushi King.

Laman web ini menggunakan penjejak bagi menambahbaik pengalaman web anda.
× WhatsApp Specialist! Available on SundayMondayTuesdayWednesdayThursdayFridaySaturday
Skip to content