Skip links

Insentif Tambahan bagi Sektor Perkilangan

Insentif Kerajaan

Insentif Tambahan bagi Sektor Perkilangan

Elaun Pelaburan Semula Elaun Pelaburan Semula

Elaun Pelaburan Semula Elaun Pelaburan Semula (Reinvestment Allowance atau RA) diberikan kepada syarikat-syarikat sedia ada yang terlibat dalam aktiviti perkilangan dan pertanian terpilih, yang menjalankan pelaburan semula bagi tujuan pembesaran, automasi, pemodenan atau pempelbagaian sebarang keluaran yang berkaitan dalam industri yang sama, dengan syarat syarikat telah beroperasi sekurang-kurangnya selama 36 bulan.

RA diberikan pada kadar 60% ke atas perbelanjaan modal layak yang ditanggung oleh syarikat, dan ianya boleh ditolak sebanyak 70% daripada pendapatan berkanun syarikat bagi tahun taksiran. Sebarang elaun yang tidak digunakan boleh dibawa ke hadapan sehingga tempoh maksimum selama tujuh tahun taksiran berturut-turut dan tempoh tersebut bermula sebaik selepas akhir tahun kelima belas. RA boleh ditolak sebanyak 100% daripada pendapatan berkanun syarikat bagi tahun taksiran yang berkenaan jika syarikat mencapai tahap produktiviti melebihi tahap yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Untuk butiran lanjut mengenai tahap produktiviti yang ditetapkan bagi setiap subsektor, sila hubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri (sila lihat Alamat Penting – Organisasi Berkaitan).

RA akan diberikan untuk tempoh 15 tahun berturut-turut bermula dari tahun pelaburan semula pertama dilakukan. Syarikat hanya boleh membuat tuntutan RA setelah projek yang layak telah siap, iaitu setelah bangunan siap atau apabila loji/jentera telah beroperasi. Mula berkuat kuasa dari Tahun Taksiran 2009, syarikat yang membeli sesuatu aset daripada syarikat berkaitan dalam kumpulan syarikat yang sama, dan RA telah dituntut ke atas aset itu, tidak dibenarkan menuntut RA sekali lagi ke atas aset yang sama.

Aset-aset yang diperoleh bagi pelaburan semula tidak boleh dilupuskan dalam tempoh lima tahun dari tarikh pelaburan semula, mula berkuat kuasa dari Tahun Taksiran 2009.

Syarikat-syarikat yang bercadang untuk melabur semula sebelum tamatnya tempoh pengecualian cukai, boleh menyerahkan Taraf Perintis atau Sijil Perintis untuk tujuan pembatalan dan layak mendapat RA.

Permohonan untuk RA hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sementara permohonan bagi penyerahan Taraf Perintis atau Sijil Perintis untuk RA hendaklah dikemukakan kepada MIDA.

ii. Elaun Modal Dipercepat

a) Pelaburan semula untuk aktiviti digalakkan atau keluaran digalakkan

Selepas tempoh kelayakan untuk mendapat RA selama 15 tahun, syarikat yang melabur semula dalam pengilangan keluaran digalakkan boleh memohon Elaun Modal Dipercepat (Accelerated Capital Allowance atau ACA). ACA menyediakan elaun khas, di mana perbelanjaan modal dihapus kira dalam tempoh tiga tahun, iaitu elaun permulaan sebanyak 40% dan elaun tahunan sebanyak 20%.

Permohonan hendaklah diserahkan kepada LHDN dan disertakan bersama surat pengesahan daripada MIDA bahawa syarikat menjalankan aktiviti pengilangan untuk keluaran digalakkan. Permohonan bagi ACA hendaklah diserahkan kepada LHDN.

b) Sisa-Sisa Kitar Semula

Mula berkuat kuasa dari Tahun Taksiran 2001, sebuah syarikat perkilangan yang telah menanggung Perbelanjaan Layak untuk tujuan perniagaannya boleh menuntut ACA ke atas loji dan jentera yang:-

• Digunakan khas atau sebaliknya untuk kitar semula sisa, atau

• Digunakan untuk pemprosesan sisa selanjutnya untuk menghasilkan keluaran siap.

Permohonan hendaklah diserahkan kepada LHDN.

iii. Insentif bagi Sistem Bangunan Perindustrian

Sistem Bangunan Industri (IBS) akan meningkatkan kualiti pembinaan, mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan bersih serta mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. Syarikat yang menanggung perbelanjaan bagi pembelian acuan yang digunakan dalam pengeluaran komponen IBS, layak mendapat Elaun Modal Dipercepat (ACA), mula berkuat kuasa dari tahun taksiran 2006 pada kadar 40% untuk Elaun Permulaan dan 20% untuk Elaun Tahunan.

Permohonan hendaklah diserahkan kepada LHDN.

iv. Pelepasan Kumpulan

Pelepasan kumpulan diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada semua syarikat pemastautin yang diperbadankan di dalam negara. Mula berkuat kuasa dari Tahun Taksiran 2009, sebuah syarikat yang layak mendapat pelepasan kumpulan boleh menyerahkan maksimum 70% daripada kerugian terlarasnya untuk ditolak daripada pendapatan syarikat lain dalam kumpulan yang sama selama tempoh tiga tahun taksiran berturut-turut. Syaratsyarat berikut mestilah dipenuhi oleh pihak menuntut dan syarikat penyerah:

a) Pihak menuntut dan syarikat penyerah masing-masing mempunyai modal berbayar bagi saham biasa melebihi RM2.5 juta pada permulaan tempoh asas;

b) Kedua-dua pihak menuntut dan syarikat penyerah mestilah mempunyai tempoh perakaunan yang sama;

c) Pemegangan saham, sama ada langsung atau tidak langsung, pihak menuntut dan syarikat penyerah dalam kumpulan mestilah tidak kurang daripada 70%;

d) Sebanyak 70% daripada pemegangan saham mestilah berterusan sepanjang tahun sebelumnya dan tahun yang berkenaan;

e) Kerugian yang timbul daripada pengambilalihan hak empunya atau syarikat milik asing tidak boleh diambil kira bagi maksud pelepasan kumpulan;

f) Syarikat yang sedang menikmati insentif berikut tidak layak untuk pelepasan kumpulan:

  •  Taraf Perintis
  •  Elaun Cukai Pelaburan/ Elaun Pelaburan
  •  Elaun Pelaburan Semula
  •  Pengecualian keuntungan perkapalan
  •  Pengecualian Cukai Pendapatan di bawah Seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan, 1967

Tuntutan hendaklah diserahkan kepada LHDN.

v. Elaun Modal Automasi

Syarikat perkilangan (industri intensif buruh dan tidak intensif buruh) yang beroperasi selama sekurang-kurangnya 36 bulan di Malaysia, layak untuk:

Kategori 1: Industri intensif buruh yang tinggi (produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil)

i. Elaun Modal Automasi sebanyak 200% ke atas perbelanjaan RM4 juta pertama yang ditanggung dalam tempoh lima (5) tahun taksiran dari tahun 2015 hingga 2020;

Kategori 2: Industri-industri lain

ii. Elaun Modal Automasi sebanyak 200% ke atas perbelanjaan RM2 juta pertama yang ditanggung dalam tempoh lima (5) tahun taksiran dari tahun 2015 hingga 2020.

Permohonan hendaklah diserahkan kepada MIDA.

Laman web ini menggunakan penjejak bagi menambahbaik pengalaman web anda.
× WhatsApp Specialist! Available on SundayMondayTuesdayWednesdayThursdayFridaySaturday
Skip to content