MARAN, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah membelanjakan RM279 juta untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di Pahang sehingga Ogos tahun ini.
Menterinya berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan itu digunakan untuk pelbagai projek seperti Program Bantuan Rumah, air bersih, elektrik dan jalan raya.
Beliau berkata peruntukan langsung kementerian itu antaranya membina 985 unit rumah dan tambahan RM98.7 juta menaik taraf jalan raya di luar bandar sepanjang 155 kilometer.
"Langkah kerajaan Barisan Nasional itu adalah untuk menyediakan keselesaan dan kemudahan terbaik kepada rakyat di luar bandar sekaligus menghapuskan kemiskinan tegar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama generasi kedua dan usahawan pekebun kecil Risda di Institut Kemajuan Pekebun Kecil Pahang Kampung Awah di sini semalam.
Mohd Shafie berkata pelbagai bantuan ekonomi, latihan, kemudahan infrastrukur disediakan kepada penduduk luar bandar bertujuan memberi anjakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.
Beliau berkata KKLW memberi penekanan terhadap usaha membantu penduduk di luar bandar mempelbagai eknomi sampingan seperti ternakan bagi menambah pendapatan keluarga.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan bernilai RM140,000 kepada 14 usahawan, dividen Tanam Semula Kemersial bernilai RM1.5 juta kepada 273 peserta dan sumbangan Hari Raya kepada anak yatim.
Sumber: BERNAMA
|